KTM Train Free Komuter Link Card Giveaway Promotion
BERNAMA: PIHAK Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan mengedarkan 100,000 kad Komuter Link percuma di semua kaunter tiket KTM Komuter di Lembah Klang mulai Isnin ini hingga 31 Julai.Pengurus Besar Perkhidmatan KTM Komuter, Khair Johari Ishak berkata melalui Promosi Wow! 100,000 Kad Komuter Link (Dewasa) Percuma itu, pengguna bagaimanapun perlu membuat transaksi tambah nilai.
Ia bermula daripada serendah RM5 bagi mengaktifkan kad tersebut sebelum menggunakannya untuk menaiki mana-mana perkhidmatan KTM Komuter.
Beliau berkata pemberian kad itu sebagai inisiatif dan tanggungjawab sosial korporat KTMB bagi menggalakkan penumpang KTM Komuter beralih daripada membayar tiket secara tunai kepada tanpa tunai.
“Cara pembayaran tanpa tunai ini menjimatkan dan menguntungkan kerana diskaun harga tambang sehingga 20 peratus diberikan berbanding bayaran secara tunai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kata Khair Johari, KTMB sebelum ini telah memperkenalkan beberapa inisiatif bagi menarik lebih ramai pelanggan membuat pembayaran tanpa tunai.
Ini termasuk promosi harga kad RM2 berbanding harga sebenar RM10 dan promosi raya iaitu 3,000 kad percuma yang diedarkan di Stesen KL Sentral dan Bandar Tasik Selatan bulan lepas.
Kad Komuter Link mula diperkenalkan di semua rangkaian stesen KTM Komuter setelah sistem tiket baharu yang menggunakan token dan kad nilai simpan mula beroperasi pada 19 Oktober tahun lepas.
Untuk maklumat lanjut, pengguna boleh menghubungi Pusat Panggilan KTM Berhad di talian 03-2267 1200 atau Twitter @ktm_berhad.
Link to Official Media Release (pdf)